Tragedi Double Six: Jasa, Bakti Wira-Wira Negeri Sabah Terus Tersemat Dalam Ingatan...

Tragedi Double Six: Jasa, Bakti Wira-Wira Negeri Sabah Terus Tersemat Dalam Ingatan Rakyat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Upacara memperingati tragedi ‘Double Six’ yang berlaku pada 6 Jun 1976 telah berlangsung dengan penuh penghormatan di Tugu Peringatan Double Six, Sembulan pada 6 Jun lalu, bersempena ulang tahun ke-49 insiden tragik yang meragut nyawa beberapa pemimpin utama negeri Sabah.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan “Negaraku” dan “Sabah Tanah Airku” oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah, sebelum diteruskan dengan sesi bertafakur selama seminit bagi mengenang jasa mangsa-mangsa yang terkorban dalam nahas udara tersebut.

Acara meletakkan karangan bunga dimulakan oleh Datuk Ellron Alfred Angin, Menteri Belia dan Sukan Sabah yang mewakili Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Hajiji Noor, diikuti oleh wakil-wakil keluarga mangsa tragedi termasuk YBhg. Puan Faridah Stephens, Datuk Gordon Leong Vui Cheung, Datuk Donald Peter Mojuntin, Puan Ho Nyuk Ha, Datin Jikilin Darius Binion, serta wakil-wakil agensi seperti DBKK, PDRM dan Sutera Harbour.

Majlis turut dihadiri oleh beberapa pemimpin negeri dan persekutuan termasuk Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Sepanggar; Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah; Datuk Richard Yong We Kong, Timbalan Speaker DUN Sabah; Datuk Peto Galim, ADUN Inanam;

Seterusnya, Datuk Tan Lee Fatt, ADUN Likas; Jannie Lasimbang, ADUN Kapayan; dan Datuk Leonard Stephen Poyong, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian Sabah.

Para hadirin kemudiannya dibawa melawat ke Galeri Double Six, yang memaparkan sejarah tragedi tersebut serta sumbangan para pemimpin yang terkorban dalam nahas itu.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Menulis Puisi Tragedi Double Six yang julung kali diadakan. Johan dimenangi oleh Puan Duliam Suari dengan puisi bertajuk “Tugu Lagenda Khazanah Bangsa”, diikuti oleh Puan Haliza Matali (“Double Six Nyala Bersejarah”) dan Dr. Roosfa Hashim (“Bergentayangan”). Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000, RM800 dan RM700.

Upacara ini menjadi bukti bahawa jasa dan pengorbanan wira-wira negeri Sabah tidak akan dilupakan dan akan terus dikenang sebagai legasi penting dalam sejarah negeri ini.