KOTA KINABALU, SABAH – Sambutan perayaan tradisi suku kaum etnik Rungus, Pesta Magahau, kembali lebih megah setelah ditangguh tahun lalu akibat pandemik.
Tanpa sambutan tahunan Magahau yang mana sebahagian besarnya dianjurkan Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA) sub-etnik tersebut mungkin masih bergerak dalam sambutan bayang-bayang kaum yang lain.
Presiden SAMORA, Datuk Dr. Jelani Hamdan berkata, ini kerana sebelum tahun 2009, kaum Rungus hanya menumpang atau berkongsi pesta kaum yang lain.
“Maksud ‘Magahau’ iaitu kegembiraan yang amat mengujakan dan pesta ini lazimnya diadakan untuk tujuan menzahir dan berkongsi kegembiraan tersebut bersama saudara-mara dan orang ramai atas rezeki yang diterima.
“Peranan Pesta Magahau ialah untuk menggalakkan rasa kesyukuran di atas nikmat yang kita terima iaitu sebuah negeri yang aman, makmur dan hidup dalam suasana yang harmoni.
“Saya yakin dengan penganjuran pesta ini, rasa kecintaan bukan sahaja kepada negeri kita malah seni dan budaya warisan di kalangan etnik Rungus terutamanya generasi muda dapat ditanam,” katanya.
Beliau ditemui pada kemuncak kemunca Pesta Magahau Peringkat Negeri Sabah, iaitu acara Mitarab Gimpuhut Momogun 2021, Mitarab Monurizak dan Momogun Model Of The Year di Sabah International Convention Centre (SICC) semalam.
Katanya, pada asalnya, pesta tersebut diraihkan dengan dua tujuan utama iaitu, ‘Papak Taraat’ bagi memperingati orang yang telah mendahului ke alam mati pada hari pertama dan ‘Papak Tavai’ bagi kaum Rungus merasakan kenikmatan hasil usaha aman dan damai sejahtera dalam kehidupan mereka pada hari kedua.
“Dalam sambutan ini tiada unsur pemujaan. Sambutan Pesta Magahau masa kini hanya mengadaptasikan beberapa elemen daripada versi kuno yang tidak melanggar sebarang terma masyarakat termasuklah perihal keagamaan…
“Fokus keutamaan matlamat Pesta Magahau ini hanya untuk memastikan segala Khazanah budaya nenek moyang tidak pupus ditelan zaman dalam kecanggihan pada masa ini supaya dapat diwarisi oleh generasi yang akan datang,” katanya.
Turut hadir pada sambutan Magahau yang ke-lapan itu ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin serta Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai.
Jafry berkata Pesta Magahau berpotensi untuk diangkat sebagai salah satu produk pelancongan dan kebudayaan negeri Sabah yang utama.
Ini kerana selain kisah sejarah sambutan Magahau yang mampu menarik perhatian pelancong, pergerakan tarian ini juga bersifat interaktif dan pastinya mampu membuatkan mereka menari bersama.
“Apatah lagi dengan kejayaan SAMORA membuat persembahan tarian tradisi etnik Rungus iaitu Mongigol Sumundai yang suatu ketika dahulu pernah memukau penonton di ITB Berlin, Jerman,” katanya.
Beliau berkata masyarakat Sabah seharusnya bersyukur dengan keamanan dan sifat perpaduan kaum etnik dan agama yang wujud di Sabah.
“Ini merupakan satu keunikan yang jarang ditemui di kebanyakan negara pada masa kini…
“Rakyat Sabah yang terdiri daripada 32 kumpulan etnik mempunyai keunikan budaya, bahasa dan perayaannya yang berbeza namun masih dapat hidup secara makmur dan bertoleransi di bawah Keluarga Malaysia.
“Ini menjadikan Sabah sebagai salah satu destinasi pelancongan yang digemari pelancong, baik domestik mahupun antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap usaha persatuan itu diteruskan secara konsisten agar budaya tersebut tidak pupus ditelan zaman dan dapat diwariskan kepada generasi muda Rungus.
“Pesta seumpama ini juga merupakan platform yang baik bagi pihak kerajaan untuk mencipta kesan limpahan ekonomi secara langsung kepada masyarakat tempatan…
“Inilah masanya untuk kita memperkenalkan produk-produk etnik Rungus seperti kraftangan, pakaian tradisi, produk makanan, hasil tani dan sebagainya,” tambahnya.





