KOTA KINABALU, SABAH – Kesemua ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berada dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memilih untuk meninggalkan parti berkenaan demi melangsungkan perjuangan di bawah naungan sebuah parti tempatan.
Pengerusi GRS, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam satu kenyataan media hari ini berkata keputusan itu adalah demi kepentingan Sabah, perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat.
“Kami membuat keputusan ini setelah mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.
“Kerajaan Negeri yang ditunjangi oleh Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) juga telah mengambil kira nasihat Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong bahawa pertimbangan terbaik untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim satu daripadanya adalah untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.
“Dengan keputusan ini, kami akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia,” katanya.
Hajiji menyatakan keyakinan bahawa keputusan itu adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah dan berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan serta kepimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara.
“Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS.
“Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilaksanakan juga adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Sabah dan perpaduan dalam kalangan rakyat berterusan.
“Adalah menjadi komitmen kami bersama Sarawak sebagai Blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya,” tambahnya.
Katanya keputusan untuk meninggalkan BERSATU adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai ‘status quo’ kerana di peringkat Persekutuan BERSATU adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu.
“Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh kami sebagai ahli BERSATU,” kata Hajiji.





