KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa mulai 1 Januari 2026, kegagalan menjelaskan tunggakan saman boleh menyebabkan tindakan mahkamah serta penyenaraian hitam bagi pembaharuan lesen kenderaan dan lesen memandu.
Orang ramai digalakkan menyelesaikan saman tertunggak sebelum 30 Disember 2025 untuk menikmati diskaun 70 peratus.
Mulai 2026, pembayaran dalam 15 hari pertama dari tarikh saman dikeluarkan akan mendapat potongan 50 peratus.
Selepas 30 hari, kadar penuh dikenakan tanpa sebarang pengurangan. Tiada lagi diskaun khas selepas penguatkuasaan kadar baharu.
“PDRM bersama JPJ akan melaksanakan tempoh peralihan sebagai peluang kepada pesalah trafik menyelesaikan tunggakan sebelum tindakan lebih tegas diambil.
“Orang ramai digesa memanfaatkan peluang ini dan terus mematuhi undang-undang demi keselamatan dan ketertiban di jalan raya,” kata Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda dalam sebuah kenyataan.






