Lebihkan Jam Bertugas Dalam Tuntutan Elaun, Dua Pegawai Didakwa di Mahkamah Tawau

Lebihkan Jam Bertugas Dalam Tuntutan Elaun, Dua Pegawai Didakwa di Mahkamah Tawau

0
SHARE

TAWAU: Dua pegawai Pertahanan Awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas tiga pertuduhan masing-masing berkaitan tuntutan elaun penugasan yang didakwa mencatatkan jam bertugas melebihi jumlah sebenar.

Mohamad Ihsan Said, 42, seorang Penolong Pegawai Pertahanan Awam, didakwa memberikan tiga dokumen tuntutan yang mengandungi butiran palsu kepada seorang ejen di Pejabat RELA Negeri Sabah, Kota Kinabalu, antara Disember 2022 hingga Februari 2023.

Tuntutan bagi penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana semasa Monsun Timur Laut itu melibatkan elaun RM9,600 bagi November 2022 serta RM9,920 masing-masing bagi Disember 2022 dan Januari 2023.

Radzmil Saadan, 38, seorang Pembantu Pertahanan Awam, pula didakwa bersubahat dengan Mohamad Ihsan berkaitan tuntutan bagi tiga bulan sama di Pejabat RELA Lahad Datu.

Mohamad Ihsan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, manakala Radzmil didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama Seksyen 18 akta sama. Kesemua pertuduhan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta itu.

Hakim Andi Razalijaya A Dadi menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh, dengan RM3,000 didepositkan ke akaun mahkamah dan seorang penjamin tempatan.

Kedua-duanya turut diperintahkan menyerahkan pasport antarabangsa, melapor diri di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu setiap dua bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan kes ditetapkan pada 23 Oktober 2026, manakala perbicaraan dijadualkan pada 19 dan 20 November 2026.

Pendakwaan dikendalikan Norsham Saharom, sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab @ Lahab.