PAPAR: Isu legasi bekalan elektrik yang diwarisi Sabah perlu diambil kira dalam pertimbangan untuk meneruskan subsidi elektrik Persekutuan kepada negeri ini, kata Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu hanya dipindahkan kepada Kerajaan Negeri bermula 2024, selepas berada di bawah Kerajaan Persekutuan sejak 1984.
“Pertimbangan subsidi perlu mengambil kira tahap pencapaian dan isu legasi yang diwarisi oleh Kerajaan Negeri setelah sekian lama kuasa kawal selia dan pertanggungjawaban bekalan elektrik dan tenaga berada di bawah Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan pengoperasian Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Benoni di sini, hari ini.
Armizan turut mengesa agar peranan Sabah dalam pemuliharaan alam sekitar diambil kira. Menurutnya, negeri ini kekal dengan komitmen sifar penjanaan elektrik berasaskan arang batu, selain mengekalkan litupan hutan kira-kira 63 peratus daripada keluasan negeri.
Katanya, subsidi tahunan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan banyak membantu menanggung kos operasi pembekalan elektrik di Sabah.
“Adalah diharapkan komitmen ini akan diteruskan sehingga proses transformasi penstabilan bekalan elektrik di Sabah dapat dicapai yang memerlukan tempoh kematangan,” katanya.
Beliau berkata PPU Benoni 33/11kV pula akan memperkukuh sistem pengagihan elektrik di Papar, termasuk menyediakan kemudahan bekalan sandaran bagi Pencawang Masuk Utama Papar dan PPU Kimanis.






