KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat tidak mempunyai masalah untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 jika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai hala tuju sendiri.
Menegaskan perkara itu, Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Ruslan Muharam berkata, keputusan gabungan parti nasional sepakat untuk bekerjasama pada PRN akan datang memberi kekuatan kepada GRS.
“Sebagai Naib Presiden PBS, kita melihat kalau itulah keputusan yang mereka capai, kita bukanlah untuk menidakkan, tapi mereka yang cuba bekerjasama dengan UMNO dan PH.
“Tapi bagi kita di GRS memang sudah parti tempatan, saya ingat ini adalah menjadi satu kekuatan untuk kita. Jika melihat pandangan akar umbi, GRS tiada masalah untuk bergerak sendiri.
“Tetapi itu hanya suara, bukan keputusan pemimpin GRS, tapi bila BN dan PH telah memutuskan yang tidak bersama dengan GRS, itu terserah kepada mereka bukan kita yang menolak, tapi kalau itulah keputusan mereka kita terima dan kita cuba lihat dalam PRN 17 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di pejabatnya di sini, hari ini.
Dalam ada itu, Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan hari ini turut menegaskan bahawa kerajaan negeri harus dipimpin oleh parti yang memahami realiti, budaya serta keperluan rakyat Sabah, sambil tidak menafikan kepentingan kerjasama dengan parti-parti nasional dalam kerangka yang lebih luas.
“Sekiranya keputusan muktamad Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo,” tegas Hajiji.
Terdahulu, Sekreteriat Kerajaan Perpaduan Malaysia menyatakan bahawa mereka (BN – PH) sepakat untuk bekerjasama bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.
Keputusan itu telah dibuat daam mesyuarat kepimpinan tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Mei 2025 lalu.