KIMANIS: Dua lelaki cedera selepas van dinaiki mereka terbabas sendiri di Jalan Telantang Ulu Tenal, Bongawan petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, seorang mangsa tersepit di tempat duduk hadapan, manakala seorang lagi tercampak keluar dari kenderaan jenis Nissan Urvan yang terbabas di bahu jalan.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 6 petang.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas (Telescopic Ram) untuk mengeluarkan mangsa tersepit.
“Kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans KKM untuk rawatan lanjut,” kata seorang pegawai jurucakap.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.35 petang selepas memastikan tiada risiko bahaya lain di lokasi.
Identiti mangsa belum diperoleh setakat ini.