KPDN Ingatkan Penggiat Industri, Syarikat Berniaga Dengan Etika

KPDN Ingatkan Penggiat Industri, Syarikat Berniaga Dengan Etika

0
SHARE
Armizan
Armizan ketika ditemui pemberita selepas perasmian Trek Larian Getah Sintetik Padang Pekan Papar dan Program Jualan Rahmah ( Sumber Foto: Ihsan KPDN )

PAPAR, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan kepada semua penggiat industri dan syarikat khususnya syarikat pengeluar makanan untuk berniaga secara beretika disamping mewujudkan persaingan perniagaan yang sihat.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata semua pihak terlibat harus mengambil iktibar susulan kes lima syarikat pengeluar makanan ayam yang dikenakan penalti sebanyak RM415 juta kerana melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga ayam, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes berkaitan lima syarikat terbabit disifatkan sebagai kes terbesar sejak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ditubuhkan pada tahun 2011.

Katanya, ia melibatkan unsur pakatan harga untuk menaikkan harga makanan ayam yang sekaligus menaikkan harga bekalan ayam di pasaran kerana 72 peratus kos pengeluaran ayam adalah melibatkan kos makanan.

Menurutnya, isu terbabit bukan sekadar isu anti-persaingan dan manipulasi pasaran, namun ini terkait secara langsung dengan kos sara hidup rakyat.

“Penalti sebanyak RM415 juta yang dikenakan melibatkan lima syarikat itu merupakan kes terbesar dan saya mengharapkan ia menjadi peringatan kepada pihak industri supaya menjunjung etika dalam berniaga.

“Bersama-sama kita menegakkan dan mewujudkan persaingan yang sihat. Kita tahu kerajaan sekarang fokus kepada usaha untuk memperbanyakkan tender terbuka namun ini juga merupakan isunya.

“Tender terbuka berhadapan dengan risiko tipuan bida. Maksudnya, apabila syarikat-syarikat ini berpakat masuk dengan harga tertentu jadi mereka boleh mempengaruhi.

“Apabila penilaian tender dibuat, kumpulan yang sama senarai itu akan berpeluang untuk mendapat projek yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Trek Larian Getah Sintetik Padang Pekan Papar dan Program Jualan Rahmah, di sini, semalam.

Armizan turut berkata pihaknya juga menyifatkan kewujudkan kartel merupakan salah satu bentuk perbuatan sabotaj terhadap ekonomi negara dan turut menjejaskan usaha KPDN dalam mewujudkan perdagangan dalam negeri yang sihat.

“Selain itu, kesan paling besar adalah kepada kos sara hidup rakyat kerana apabila tidak wujudnya persaingan sihat, pihak tertentu boleh memanipulasi pasaran dengan menaikkan haega untuk mendapatkan keuntungan maksimum dikalangan industri.

“Golongan yang mengalami kerugian adalah rakyat kita,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya komited untuk mempergiatkan lagi penguatkuasan bagi membanteras kewujudan kartel dalam negara ini disamping memperkasakan lagi peranan MyCC pada tahun hadapan.

Katanya, pihaknya akan memberi fokus terhadap pengkuatkuasaan menerusi tiga perkara.

“Pertama, kita akan melihat kepada sektor pertanian, kedua sektor makanan dan tipuan bida.

“Ini merupakan tiga fokus MyCC pada tahun depan untuk memastikan wujudnya perdagangan dalam negeri yang sihat serts proses persaingan dapat digalakkan dan dikawal dengan sebaiknya,” katanya.

Armizan dalam pada itu juga berkata pihaknya menyifatkan peranan MyCC bakal menjadi lebih penting bermula tahun hadapannya berdasarkan dua faktor.

“Pertama, pada tahun depan akan dilaksanakan semula penyasaran subsidi, bermaksud banyak barang keperluan rakyat ini diapungkan.

“Apabila harga barangan rakyat diapungkan tanpa subsidi, maka ia akan bergantung kepada pasaran harga yang ditentukan.

“Jadi wujudkan risiko kartel tertentu dikalangan penggiat industri yang berpakat untuk menaikkan harga akan meningkat,” katanya.