Trek Sintetik Padang Pekan Papar Kini Dibuka

Trek Sintetik Padang Pekan Papar Kini Dibuka

0
SHARE

PAPAR, SABAH – Trek sintetik Padang Pekan Papar dibuka untuk masyarakat sekitar bermula semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata trek yang bernilai lebih RM1.2 juta dengan enam lorong itu dapat dijadikan pusat riadah bersama keluarga serta aktiviti sukan bagi beberapa buah sekolah di daerah berkenaan.

“Trek larian sintetik ini telahpun disiapkan hasil daripada peruntukan yang diluluskan oleh YAB Ketua Menteri Sabah bernilai RM1.2 juta dan sedikit tambahan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

“Dengan adanya trek sintetik ini, ia boleh digunakan oleh masyarakat setempat khususnya anak-anak untuk bersukan yang selama ini terpaksa meminjam fasiliti padang di Kompleks Sukan Beaufort dan Penampang.

“Walaupun kita masih mengharapkan permohonan Kompleks Sukan Papar itu dapat diluluskan namun trek sintetik yang ada di Papar ini bolehlah digunakan sebagai alternatif awal sebelum kita dapat kompleks sukan.

“Jadi, saya berharap trek sintetik ini dapat dimanfaatkan dan dijaga oleh masyarakat Papar dengan baik,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau telah meminta Pejabat Daerah Papar dan Jabatan Tanah Daerah Papar untuk mengenal pasti tapak yang sesuai untuk pembinaan Kompleks Sukan Papar.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) semalam, saya meminta Pejabat Daerah dan Jabatan Tanah untuk mengenal pasti tanah yang sesuai sama ada di DUN Kawang, Pantai Manis ataupun Limbahau untuk kita mohon digunakan sebagai tapak kompleks sukan,” katanya.

Menurutnya, projek tersebut merupakan harapan warga Papar sejak dahulu memandangkan projek pembinaan Kompleks Sukan Papar telahpun diluluskan di Kampung Beringgis, namun dibatalkan akibat perubahan kerajaan pada 2019 atas alasan kos yang tinggi untuk kerja-kerja tanah.

Justeru, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar turut menggesa agar Jabatan Tanah dan Ukur Sabah agar mengenal pasti tapak projek perumahan rakyat untuk menampung keperluan rakyat pada masa depan.

“Saya juga menggesa Jabatan Tanah, saya fikir perlu daripada sekarang untuk kita mengenal pasti tanah-tanah yang boleh kita wartakan sebagai tapak kepada projek perumahan rakyat.

“Kita kena fikir 10 atau 20 tahun yang akan datang keperluan perumahan ini semakin meningkat jadi adalah lebih baik sekiranya kerajaan negeri dapat mengambil langkah proaktif untuk membuat pewartaan dan mengenal pasti tanah-tanah yang kemudiannya boleh digunakan sebagai tapak perumahan rakyat untuk menampung keperluan rakyat.

“Kalau kita tunggu, saya khuatir nanti 10 atau 20 tahun tanah itu akan berkurangan.

“Jadi dengan adanya perancangan awal ini, walaupun peruntukan belum ada tapi sekurang-kurangnya bila peruntukan diluluskan sama ada persekutuan atau negeri kelak, maka tapak sudah sedia dan projek dapat dijalankan dengan segera,” dedahnya.

Mengenai rungutan masyarakat mengenai pada bola, beliau menjelaskan, projek naik taraf trek sintetik yang hanya memakan masa lebih kurang dua bulan itu tidak melibatkan komponen padang bola.

“Padang Pekan Papar melalui pelbagai proses penambahbaikan serta naik taraf.

“Untuk trek ini, ia merupakan komponen hanya untuk naik taraf dengan pemasangan trek sintetik dan tidak melibatkan padang bola.

“Padang bola adalah projek sebelum ini diusahakan oleh pihak lain,” katanya kepada media selepas merasmikan Trek Larian Getah Sintetik Padang Pekan Papar dan Program Jualan Rahmah di sini, pada Sabtu.

Majlis yang bermula seawal 7 pagi itu diisi dengan acara senamrobik, diikuti simbolik serah kuasa penjagaan padang kepada Majlis Daerah Papar dan pelepasan peserta 10,000 langkah.

Turut mengiringi Armizan ialah Pegawai Daerah, Mohd Fuad Abdullah, Penolong Pegawai Daerah Mohd Adnan Abdullah, pemimpin masyarakat serta ketua-ketua jabatan dan negeri serta persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Armizan juga mengesahkan bekalan barang keperluan sempena sambutan Krismas adalah mencukupi dan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Kita memantau dari semasa ke semasa khususnya dalam musim perayaan ini dengan kerjasama rapat daripada Kementerian Pertanian kerana sumber bekalan makanan ini adalah tanggungjawab Kementerian Pertanian manakala kita melihat daripada pengurusan stok menjelang Krismas bekalan mencukupi kita sda menjalankan kawalan ke atas 14 berang kawalan,” katanya.

Khamis lalu, Armizan mengumumkan pihaknya melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di seluruh negara ke atas 14 jenis barangan kawalan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, bermula hari ini hingga Rabu depan. — JABATAN PENERANGAN SABAH