LAHAD DATU, SABAH – Seorang wanita warga emas meninggal dunia di sini, semalam selepas hampir sebulan bertarung nyawa akibat tikaman pada lehernya yang dilakukan oleh seorang lelaki disyaki penagih dadah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, mangsa berusia 81 tahun itu disahkan pasukan perubatan meninggal dunia pada 9.03 pagi.
Katanya, susulan kematian itu, suspek berusia 21 tahun yang sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan akan didakwa semula mengikut Seksyen 302 kanun sama kerana membunuh.
“Pertuduhan sudah dijalankan terhadap suspek mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan di Mahkamah Lahad Datu pada 5 Mac lalu dan dia juga didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta dihukum penjara enam bulan serta tiga sebatan,” katanya hari ini.
Rohan berkata, tarikh sebut semula kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan akan dibuat pada 1 April ini.
Dalam kejadian 12 Februari lalu di Kampung Pisang di sini, mangsa diserang suspek kerana didakwa tidak memberikannya ‘syabu’.
Mangsa yang parah di leher, dibawa ke Hospital Lahad Datu sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
Polis turut menemui pisau lipat digunakan suspek untuk menyerang mangsa.