KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan sekurang-kurangnya dua pakar perubatan keluarga di setiap klinik kesihatan.
Katanya, dua kaedah dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti pakar perubatan keluarga iaitu dengan penawaran ijazah sarjana dalam bidang perubatan berkenaan oleh universiti tempatan dan kerjasama dengan kolej-kolej di luar negara.
”Penempatan pakar tersebut di klinik kesihatan membolehkan komuniti mendapatkan rawatan dengan lebih mudah dan cepat tanpa perlu ke hospital kecuali bagi kes-kes tertentu…
“Pakar perubatan keluarga juga berperanan memimpin pegawai perubatan dan meningkatkan kualiti serta keselamatan perkhidmatan kesihatan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perubatan Keluarga Saintifik 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Khamis.
Peningkatan jumlah fasiliti yang menawarkan perkhidmatan perubatan keluarga, kemudahan rawatan dan ubat-ubatan di klinik kesihatan antara konsep yang diaplikasikan oleh KKM dalam memperkasa perkhidmatan di seluruh negara.
Pada majlis yang dihadiri lebih kurang 1,000 pengamal perubatan keluarga itu turut menyaksikan pelancaran tiga buah buku Persatuan Pakar Perubatan Keluarga (FMSA) iaitu Guideline For Primary Care Services During Pandemic and The Way Forward, FMS Coffee Table Book dan Common Clinical Problems in Primary Care : A Quick Guide (2nd Edition).
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Rose Nani Mudin, Pakar Perunding Kesihatan Keluarga Universiti Malaysia Sabah, Prof. Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud, Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed dan Presiden Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Malaysia, Dr. Sri Wahyu Taher.





