KOTA BELUD: Seorang warga emas wanita yang dilaporkan hilang sejak 15 Disember lalu di Kampung Tambulion Laut, di sini, ditemui tidak bernyawa hari ini selepas enam hari operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama pelbagai agensi serta penduduk kampung.
Mangsa, Minun Kasim, 83, ditemui kira-kira jam 10 pagi di Sektor 2 iaitu kawasan pertanian Tumpul Tambulion Luminodip, pada jarak sekitar 1.7 kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Menurut kenyataan JBPM Negeri Sabah, panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa diterima oleh Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud pada 16 Disember, jam 7.30 pagi. Mangsa dilaporkan kali terakhir dilihat di kawasan kampung pada 15 Disember, kira-kira jam 5.30 petang.
Operasi SAR hari keenam dimulakan jam 9.20 pagi dengan pencarian dibahagikan kepada tiga sektor, meliputi kawasan tepi Sungai Wariu, kawasan pertanian serta laluan sungai dan persisiran pantai Kuala Abai. Operasi turut membabitkan Unit K9, Unit Dron serta penggunaan bot bomba dan aset agensi berkaitan.
Bagaimanapun, pasukan penyelamat berdepan kesukaran membawa keluar mangsa berikutan paras air sungai yang dalam dan berarus deras. Laluan alternatif melalui kebun sawit terpaksa digunakan bagi sampai ke lokasi mangsa dengan menggunakan kenderaan utiliti bomba.
“Selepas berjaya mengeluarkan mangsa dari kawasan paya, mangsa dibawa ke jalan raya utama menggunakan kenderaan utiliti dan seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah hari selepas pihak berkuasa memastikan tiada lagi bahaya di kawasan operasi.
Operasi berkenaan disertai seramai 12 anggota JBPM, selain bantuan PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Unit K9, Unit Dron serta sokongan penduduk kampung. Kes kini diserahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk siasatan lanjut.






