KENINGAU, SABAH – Seramai 100 orang peserta dari daerah membabitkan Keningau, Tambunan, Sook dan Nabawan telah menyertai Program Turun Padang Ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MasKop) bertempat di Hotel Juta, di sini, hari ini.
Peserta yang menyertai program anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sabah itu terdiri daripada wakil jabatan dan agensi kerajaan, pemimpin, anggota koperasi, usahawan dan juga orang awam.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, program yang sama telah diadakan di Kudat Golf and Marina Resort pada 19 Januari lepas selaim turut akan diadakan di Hotel Elopura Sandakan pada 8 Februari, ITCC Shopping Mall Penampang pada 18 Februari dan Hotel Borneo Royale, Tawau pada 9 Mac nanti.
“Selaras dengan pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030, IKMa mengambil inisiatif menganjurkan program ini bagi menyantuni kumpulan sasar khususnya B40 dan mempromosikan program latihan yang ditawarkan sepanjang tahun 2023.
“Program MasKop 2023 menyasarkan penyertaan daripada semua lapisan masyarakat sama ada anggota koperasi mahupun bukan anggota koperasi.
“Ini selaras dengan Bidang Tujahan 3, Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKoM 2021-2025) yang menggariskan pengukuhan bakat dan pembangunan modal insan Penerapan Nilai Kemakmuran Bersama.
“Ia menekankan modal insan yang berpengetahuan, berinovasi, berintegriti dan berdaya maju dalam memacu kecemerlangan Gertakan Koperasi Malaysia,” jelas dalam kenyataan terbabit.
Dalam pada itu, IKMa juga menyatakan
pendekatan yang diambil pihaknya pada tahun ini menerusi aktiviti turun padang bagi menemui kumpulan sasar melalui program yang dirancang.

“Program berfokus akan dijalankan di setiap zon di seluruh negara melibatkan pegawai di IKMa ibu pejabat dan zon.
“Antara pengisian Program Turun Padang Ke Arah Memasyarakatkan Koperasi ini adalah taklimat program agensi IKMa, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, ANGKASA, perkongsian ilmu usahawan, aktiviti promosi, edaran maklumat, dan pameran,” jelas dalam kenyataan itu.
Pelaksanaan program terbabit menerusi jalinan kerjasama antara IKMa dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Amanah Ikhtihar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional dan agensi lain di bawah KUSKOP.





