TIGA PEMBANTU MENTERI SABAH ANGKAT SUMPAH HARI INI

TIGA PEMBANTU MENTERI SABAH ANGKAT SUMPAH HARI INI

0
SHARE
Juhar
Tiga Pembantu Menteri baharu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Tiga Pembantu Menteri baharu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini, hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata dengan pelantikan baharu itu, rombakan pembantu menteri yang sedia ada turut dilakukan.

“Pelantikan dan rombakan pembantu menteri hari ini adalah usaha berterusan untuk memantapkan dan mengukuhkan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Pelantikan pembantu menteri adalah untuk mengisi dua jawatan yang ditinggalkan Datuk James Ratib, bekas Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan yang kini Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dan Datuk Jasnih Daya yang memilih untuk melepaskan jawatan Pembantu Menteri Kewangan bagi memberi laluan kepada pelantikan orang lain.

“Bagi membina pasukan yang mantap, saya telah melantik Datuk Ruslan Muharam daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri.

“Manakala Peto Galim dan Tan Lee Fatt dari
Pakatan Harapan (PH) masing-masing memainkan peranan sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan dan Pembantu Menteri Kewangan untuk menambah inklusif pentadbiran sedia ada,” katanya.

Empat pembantu menteri semasa yang terlibat dalam pertukaran portfolio ialah Datuk Ruddy Awah (Pembangunan Luar Bandar), Datuk Harun Durabi (Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Fairuz Renddan (Belia dan Sukan) dan Datuk Andi Suryady Bandy (Pembangunan Perindustrian).

Ruddy dan Fairuz adalah dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) manakala Harun dan Andi adalah dari UMNO-BN.

“Saya telah menekankan kepentingan kerajaan negeri di bawah pimpinan saya untuk berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, berkongsi aspirasi sama yang dibina atas kepercayaan bersama dan hormat.

“Kami memerlukan pasukan yang kuat untuk mendorong momentum pembangunan kami dan untuk memenuhi janji pilihan raya kami untuk rakyat serta negeri,” katanya.