Dua Kanak-Kanak Mati Lemas Dalam Parit

Dua Kanak-Kanak Mati Lemas Dalam Parit

0
SHARE
Parit
Parit di Jalan Radu, Kota Marudu tempat dua kanak-kanak ditemui mati lemas di sini ( Sumber Foto: Ihsan JPBM Sabah )

KOTA MARUDU, SABAH – Aktiviti memancing dan bermandi manda bagi dua orang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dalam sebuah parit di Jalan Radu, sini, bertukar tragedi selepas kedua-duanya mati lemas pada kira-kira 4.45 petang, Selasa lepas.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan mangsa pertama yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang kemudian membawanya ke hospital sebelum ketibaan pihak bomba.

“Mangsa kedua turut berjaya diselamatkan oleh orang awam dan juga dilaporkan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa sempat diberikan bantuan pernafasan CPR oleh seorang pegawai bomba, PBKII KUP Lainor Unsigang, yang berada di luar waktu penugasan di lokasi kejadian sementara menunggu ketibaan pasukan bomba dan ambulans.

“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital menaiki ambulans untuk mendapat rawatan selanjutnya,” katanya.

Walau bagaimanapun, menurut sumber, kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Marudu.

Operasi ditamatkan pada pukul 5:45 petang.