SE Sasar Enam Hari Pulihkan Bekalan Elektrik Sepenuhnya di Pantai Timur

SE Sasar Enam Hari Pulihkan Bekalan Elektrik Sepenuhnya di Pantai Timur

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) menyasarkan bekalan elektrik di tujuh daerah yang menjejaskan seramai 153,599 pengguna di kawasan Pantai Timur dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh enam hari.

Ketua Pegawai Eksekutif SE, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik sedang dilaksanakan secara berperingkat dengan kapasiti pemulihan setakat ini mencapai 50 peratus.

“Gangguan bekalan elektrik itu berpunca daripada insiden menara penghantaran elektrik tumbang akibat hakisan sungai susulan hujan lebat.

“SE akan menggantikan menara yang tumbang itu dengan struktur tiang sementara menggunakan Sistem Pemulihan Kecemasan (Emergency Restoration System – ERS) bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 10 set janakuasa (genset) telah digerakkan ke lokasi kritikal termasuk hospital, sekolah dan balai polis.

Tujuh daerah yang terjejas ialah Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kinabatangan dan Beluran.