TAWAU: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai mengugut ahli keluarganya menggunakan sebilah parang dalam kejadian di Kampung Sri Aman, Batu 3 Jalan Apas, di sini, pada pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 pagi apabila suspek yang juga abang ipar mangsa dipercayai tidak berpuas hati selepas ditegur berhubung pemasangan mozek di dapur rumah mangsa.
Menurutnya, suspek yang berada dalam keadaan mengamuk bertindak mengacukan dan cuba melibas parang ke arah mangsa, namun berjaya ditahan oleh ahli keluarga lain sebelum kejadian lebih buruk berlaku.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau telah menahan suspek kira-kira jam 10 pagi di rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Jasmin berkata, suspek yang merupakan warga asing berusia lingkungan 40-an itu turut dirampas sebilah parang sepanjang kira-kira 64 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyelesaikan sebarang perselisihan keluarga secara aman dan mengelakkan tindakan yang boleh membahayakan keselamatan diri sendiri serta ahli keluarga lain.






