PGA Sabah Rampas Barangan RM354.6 Juta, 990 Individu Ditahan Sepanjang 2025

PGA Sabah Rampas Barangan RM354.6 Juta, 990 Individu Ditahan Sepanjang 2025

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah merampas pelbagai barangan bernilai RM354.6 juta dan menahan 990 individu menerusi 698 serbuan sepanjang Januari hingga Disember tahun ini.

Komander Briged Sabah PGA, SAC Nor Omar Sappi, berkata tangkapan melibatkan 559 warga tempatan dan 431 warga asing hasil beberapa operasi bersepadu termasuk Op Taring ESSZONE/Daratan, Op Kontraban, Op Bersepadu Khazanah, Op Hazard (e-Waste) serta pemeriksaan sekatan jalan raya di seluruh negeri.

Menurutnya, rampasan utama meliputi kenderaan darat dan laut bernilai RM65.79 juta, mesin dan jentera berat RM20.1 juta, makanan sejuk beku RM51.3 juta, rokok dan vape RM49.09 juta serta e-waste bernilai RM48.88 juta.

“Rampasan lain termasuk minuman keras tanpa permit, minyak sawit mentah, diesel dan petrol, senjata api, mercun, barangan bersubsidi serta dadah dengan nilai keseluruhan RM354.6 juta,” katanya.

Nor Omar berkata operasi tersebut berjaya melumpuhkan beberapa rangkaian sindiket penyeludupan dan pengedaran barangan haram di kawasan pantai barat dan timur Sabah, sambil menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi membantu penguatkuasaan.