KOTA KINABALU: Individu yang bertindak sebagai pemberi maklumat dalam isu skandal rasuah perlombongan di Sabah dijangka akan didakwa di mahkamah pada Isnin, 30 Jun ini.
Memetik The Star perkara itu didedahkan oleh peguam kepada pemberi maklumat terbabit, Mahajoth Singh, seperti dilaporkan oleh sebuah portal berita dalam talian.
Menurut beliau, anak guamnya telah dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya untuk memberikan keterangan lanjut sebelum dibebaskan pada sebelah petang.
Mahajoth menyifatkan keputusan untuk mendakwa anak guamnya sebagai sesuatu yang mengejutkan dan mengecewakan, memandangkan tanpa maklumat yang diberikan oleh individu berkenaan, skandal tersebut mungkin tidak akan disiasat langsung oleh pihak berkuasa.
“Anak guam saya mengambil risiko peribadi yang besar untuk mendedahkan skandal ini, namun kini dia ‘dihukum’ dengan cara begini,” katanya.
Selain pemberi maklumat tersebut, SPRM Sabah turut memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, untuk memberikan keterangan lanjut berhubung kes yang sama.
Menurut sumber, beliau hadir di Ibu Pejabat SPRM Sabah pada waktu pagi dan dibebaskan selepas lebih kurang empat jam memberi keterangan.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menyatakan bahawa tiga individu termasuk dua ADUN dan seorang orang awam dijangka akan didakwa sebelum hujung bulan ini.






