PUTATAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengambil maklum mengenai pendakwaan yang akan dibuat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua ADUN Sabah dan seorang individu awam dalam masa terdekat ini.
Dakwaan itu dipercayai susulan pendedahan skandal rasuah melibatkan ADUN Sabah pada tahun lalu, berkaitan lesen perlombongan mineral di negeri ini.
“Saya ambil maklum perkara itu, kita mesti menghormati proses undang-undang dan kita biarkan jabatan yang berwajib untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Kerajaan negeri komited untuk mempastikan bahawa kita menghormati bukan sahaja undang-undang tetapi mewujudkan integriti di kalangan anggota kerajaan dan juga penjawat awam,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM mengenai tindakan pendakwaan yang akan diambil terhadap dua ADUN Sabah yang tidak dinamakan itu.
Sementara itu, Hajiji ketika ditanya adakah pendakwaan itu akan memberi kesan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus (GRS-PH Plus) yang dipimpinnya ketika ini, beliau menegaskan, ianya tidak memberi kesan sama sekali.
“Saya ingat tidak memberi kesan. Jadi saya dapat maklum mereka akan membuat pendakwaan kepada dua orang, saya tidak tahu siapa.
“Jadi apa pun kita menegakkan proses undang-undang itu mesti berjalan sebaik mungkin, biar mahkamah memutuskan sama ada mereka bersalah atau tidak, ada ruang untuk mereka membersihkan nama mereka,” tegasnya.






