KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR), Datuk Kenny Chua, menggesa kerajaan Persekutuan supaya menangguhkan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadual bermula 1 Julai ini kerana dikhuatiri akan membebankan rakyat Sabah yang masih berdepan cabaran ekonomi.
Beliau menyuarakan kebimbangan bahawa langkah tersebut akan meningkatkan kos sara hidup, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah di negeri itu yang masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri lain.
“Kerajaan perlu menjelaskan secara terperinci rasional di sebalik keputusan ini dan lebih penting, bagaimana hasil kutipan SST yang diperluaskan itu akan dimanfaatkan untuk membantu rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, pengumuman itu dibuat ketika Sabah dijangka menghadapi pilihan raya negeri hujung tahun ini, dan ia berisiko menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Sehubungan itu, Kenny mencadangkan agar kerajaan Persekutuan menangguhkan sementara pelaksanaan dasar tersebut dan mengadakan rundingan bersama kerajaan negeri serta pihak berkepentingan untuk menangani kebimbangan rakyat di peringkat akar umbi.
Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan peluasan SST bertujuan memperkukuh kedudukan fiskal negara serta meningkatkan jaringan keselamatan sosial tanpa memberi beban keterlaluan kepada rakyat.






