GAZA: Sekurang-kurangnya 59 penduduk Gaza terbunuh dan 221 lagi cedera apabila kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang menunggu bantuan makanan (tepung) di Khan Younis semalam.
Insiden tragis itu yang turut dirakam dalam video, menunjukkan mayat bergelimpangan di jalanan.
Tentera Israel mengakui melepaskan tembakan di kawasan itu dan sedang menyiasat kejadian.
Laporan Reuters berkata, tembakan berlaku selepas orang ramai dibenarkan menghampiri lori bantuan.
Kecederaan parah memaksa mangsa dibawa ke hospital menggunakan kenderaan awam, beca dan kereta kuda.
Ianya merupakan insiden paling berdarah sejak bantuan makanan disambung semula pada Mei.
Jumlah kematian keseluruhan di Gaza pada hari itu mencecah sekurang-kurangnya 73 orang.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan lebih 397 orang terbunuh dan lebih 3,000 cedera sejak akhir Mei ketika cuba mendapatkan bantuan.
Kejadian itu berlaku berhampiran lokasi agihan bantuan Program Makanan Dunia (WFP), bukan tapak yang dikawal oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong AS dan Israel.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengkritik GHF sebagai sistem bantuan yang tidak selamat dan tidak berkecuali.
Perang Gaza tercetus sejak serangan Hamas pada Oktober 2023, menyebabkan lebih 55,000 penduduk Palestin terbunuh dan hampir seluruh populasi 2.3 juta terpaksa berpindah, mengakibatkan krisis kelaparan.






