SEMPORNA: Persatuan Bumiputera Bajau Semporna (PERBUBAS) mengkritik Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, berhubung isu pelesenan resort, sambil membangkitkan kebimbangan terhadap kewujudan pekerja asing tanpa dokumen di pusat peranginan.
Presidennya, Mansor Santiri, berkata banyak resort haram dipercayai menggaji pekerja asing tanpa dokumen, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap penguatkuasaan pihak berkuasa.
Beliau menyifatkan cadangan Shafie untuk mempermudah lesen bagi mengelakkan perobohan kira-kira 80 resort sebagai “ironik dan sukar diterima”.
“Di mana suara beliau ketika menjadi Ketua Menteri dari 2018 hingga 2020? Pengusaha Bumiputera pernah berjumpa beliau untuk memohon kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dipercepatkan, tetapi tidak diberi keutamaan,” katanya.
Menurut Mansor, ramai pengusaha Bumiputera tempatan hanya memperoleh kelulusan pada 2024 di bawah pentadbiran GRS, walaupun isu itu boleh diselesaikan lebih awal jika diberi perhatian sewajarnya.
Beliau turut mendakwa pengusaha pelancongan haram, kebanyakannya bukan Bumiputera, lebih mudah mendapat kelulusan sebelum ini, manakala pengusaha tempatan diketepikan.
“Mana-mana resort haram mesti ditutup dan dirobohkan. Apa gunanya undang-undang jika pengusaha haram terus dibenarkan beroperasi?” katanya.
Mansor menegaskan undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil tanpa pilih kasih, sambil menyifatkan isu pelesenan tidak sepatutnya dipolitikkan selepas pengusaha Bumiputera sekian lama terpinggir.






