Kebajikan Wanita Terus Jadi Keutamaan – Hajiji

Kebajikan Wanita Terus Jadi Keutamaan – Hajiji

0
SHARE

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kebajikan dan keperluan wanita di Sabah tidak pernah dipinggirkan kerana mereka adalah tulang belakang dalam pembangunan negeri.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan dapur kepada kira-kira 1,000 suri rumah di Sulaman, bertempat di Pusat Kebudayaan Bajausamah, Lok Batik, semalam.

Hajiji yang juga ADUN N12 Sulaman menegaskan, kesejahteraan rakyat khususnya golongan wanita merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Hajiji menzahirkan keyakinan bahawa sokongan wanita, terutamanya di Sulaman, akan menjadi penentu kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Saya boleh bergantung kepada wanita. Dengan usaha gigih mereka, saya yakin GRS akan terus mencapai kemenangan,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau menolak dakwaan pembangkang yang menuduh GRS gagal. Menurutnya, ketika beliau mengambil alih pentadbiran pada 2020, Sabah berdepan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan politik negara.

“Selama dua bulan saya sendiri dijangkiti COVID-19, namun dalam keadaan itu kita merangka pelan Hala Tuju SMJ untuk memulihkan ekonomi negeri. Selepas lebih empat tahun, hasilnya jelas, ekonomi Sabah kembali pulih,” tegasnya.

Antara pencapaian utama SMJ termasuklah bantuan bulanan RM300 kepada kira-kira 100,000 rakyat miskin melalui program e-Kasih.

Perbelanjaan RM1.4 bilion untuk membantu 70,000 penerima kebajikan, peruntukan RM1.33 bilion bagi pembangunan modal insan dalam pendidikan dan program Rumah Mesra SMJ yang menyediakan rumah percuma kepada rakyat memerlukan.

Hajiji dalam pada itu menegaskan bahawa berpeluang membantu rakyat adalah satu kepuasan besar bagi kerajaan GRS, dan beliau yakin akan mempertahankan kerusi Sulaman dengan sokongan rakyat.