KOTA KINABALU: Pejabat Mufti Negeri Sabah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan Mufti Negeri Sabah dan Timbalan Mufti dengan proses penggalian semula jenazah Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Dalam satu kenyataan rasmi semalam, Pejabat Mufti Negeri Sabah menegaskan dakwaan yang dibuat melalui sebuah video bertajuk “Penggali Kubur” bertarikh 28 Ogos 2025 itu adalah tidak benar, tidak berasas serta boleh menjejaskan reputasi institusi agama negeri.
Menurut kenyataan tersebut, pihak yang terlibat dalam penyebaran dakwaan itu diminta menarik balik kenyataan serta memohon maaf secara lisan dan bertulis sebelum tindakan undang-undang diambil.
“Mufti Kerajaan Negeri Sabah dan Timbalan Mufti tidak terlibat dalam proses berkenaan seperti yang didakwa. Kenyataan tersebut adalah fitnah yang mencemarkan nama baik Pejabat Mufti Negeri Sabah serta boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi ini,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, Pejabat Mufti Negeri Sabah menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih, selain mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang berbuat demikian.
Bagi menjelaskan kedudukan sebenar, Pejabat Mufti Negeri Sabah turut mengeluarkan irsyad hukum berhubung adab menziarahi kubur.
Irsyad itu menjelaskan bahawa menziarahi kubur adalah amalan yang dituntut dalam Islam sebagai peringatan terhadap kehidupan akhirat, namun setiap umat Islam perlu menjaga adab serta menjauhi perkara yang ditegah syarak.
Antara larangan tersebut termasuklah meratap secara berlebihan, duduk atau merangkak di atas kubur, memijak kubur tanpa keperluan, melakukan perbuatan khurafat, mengambil keberkatan daripada kubur serta menyerupai amalan agama lain seperti membawa kalungan bunga.
Menurut irsyad itu lagi, dalam isu melibatkan kubur Allahyarhamah Zara Qairina, umat Islam diseru supaya menangani perkara tersebut dengan penuh keinsafan serta kesederhanaan agar tidak melampaui batas ajaran Islam.
Pejabat Mufti Negeri Sabah turut menegaskan bahawa pendekatan sederhana adalah yang terbaik sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan.”
Dengan penjelasan itu, Pejabat Mufti berharap sebarang salah faham dapat dihentikan, sekali gus mengelakkan fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.






