Nyanyian Agong Gamatkan Dewan Masyarakat Tawau

Nyanyian Agong Gamatkan Dewan Masyarakat Tawau

0
SHARE
Ydpa
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika mempersembahkan nyanyian ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TAWAU, SABAH – Lagu, “Butakah Cinta” yang dipersembahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggamatkan suasana di Dewan Masyarakat Tawau.

Lagu yang popular sekitar tahun 1994 itu turut dinyanyikan oleh 18 ketua persatuan etnik serta para jemputan kenamaan yang hadir dalam Majlis Pelancaran Program Kembara Kenali Borneo dan Santapan Makan Malam Bersama Rakyat, pada Ahad malam.

Mengiringi Al-Sultan Abdullah di atas pentas ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta empat anakanda iaitu Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda dalam ucapannya berkata beliau serta keluarga mengucapkan terima kasih dengan sambutan berkenaan serta berharap semangat tinggi dalam kalangan rakyat Sabah, Sarawak serta Semenanjung Malaysia dapat terus diperkasakan dalam sambutan Hari Malaysia di Sarawak pada 16 September ini.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berdua diiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin serta isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni melawat reruai pameran makanan tradisi etnik masyarakat Tawau.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof- dan isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta isteri, Datin Seri Juliah Salag, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya dan isteri, Datin Noraini Salleh, jemaah kabinet Sabah, ketua-ketua adat serta pemimpin setempat.

Program Kembara Kenali Borneo Sabah pada 3 hingga 7 September akan bermula di 0KM Bandar Tawau dan majlis pelepasannya akan disempurnakan oleh Tun Juhar hari ini (Isnin) dan akan berakhir di Teluk Melano, Sarawak. — JABATAN PENERANGAN SABAH