YDPA Lancarkan Kembara Kenali Borneo

YDPA Lancarkan Kembara Kenali Borneo

0
SHARE
Ydpa
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (duduk) menandatangani Buku Lawatan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TAWAU, SABAH – Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta Santapan Malam Bersama Masyarakat Tawau, di sini, malam tadi, disambut meriah dengan kehadiran 1,000 orang termasuk orang kenamaan dan penduduk setempat.

Memetik sumber Bernama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut berangkat ke majlis yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tawau yang mula dipenuhi tetamu serta masyarakat tempatan sejak jam 7 malam.

Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah berangkat tiba pada jam 8.50 malam dengan disambut oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya; serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Premier Sarawak.

Sejurus keberangkatan tiba, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan melawat khemah-khemah bersebelahan dewan masyarakat itu, yang mempamerkan makanan tradisional pelbagai etnik seperti Tidung, Jawa, Cocos dan Bugis.

Antara produk makanan tempatan Tawau yang dipamerkan ialah amplang, kuih bulan dan mi Tawau, manakala makanan tradisional etnik pula soto banjar, palekko serta punti ne rabus.

Seri Paduka berdua turut berkenan melawat khemah pameran bagi industri kecil dan sederhana yang menampilkan pelbagai produk jualan rakyat di daerah ini.

Usai lawatan itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat ke dalam Dewan Masyarakat Tawau untuk santapan malam bersama tetamu sebelum upacara pelancaran Kembara Kenali Borneo untuk mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak.

Gimik pelancaran itu disempurnakan dengan Al-Sultan Abdullah meletakkan tangan di panel tangan hidraulik bagi menandakan perasmian program pengembaraan selama 11 hari dengan menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan kedua-dua negeri itu serta Brunei.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan etnik oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan mendendangkan lagu bertajuk ‘Butakah Cinta’ daripada Kumpulan Spring, bagi memeriahkan majlis itu sebelum Seri Paduka berdua berangkat meninggalkan majlis kira-kira jam 10.30 malam.

Hari ini, jadual pengembaraan yang padat menanti Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dengan acara pelepasan Kembara Kenali Borneo pada jam 8.30 pagi oleh Yang di-Pertua Negeri di Bulatan 0 KM berhampiran Padang Bandaran Tawau.

Perjalanan menuju ke Lahad Datu akan menyaksikan persinggahan pertama di Menara Kayangan, diikuti melawat ibu pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan menghadiri santapan tengah hari serta majlis penyerahan sumbangan kepada golongan asnaf di Dewan Perdana Lahad Datu, sebelum meneruskan perjalanan ke Sandakan.