Kota Kinabalu – Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah akan mengadakan Karnival Kerjaya MyFutureJobs @ MOHE Zon Borneo 2024 pada Sabtu ini (20 Januari).
Karnival yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu, adalah bertujuan untuk membuka peluang pekerjaan kepada warga Sabah khususnya graduan tahun 2023.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PKPKP UMS, program tersebut juga antara lain menjadi platform untuk mengukuhkan kerjasama industri dan universiti dalam usaha meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan negeri Sabah.
“Sebanyak 25 majikan dengan lebih 200 kekosongan, sepuluh pameran agensi dan 20 gerai usahawan tempatan akan menjayakan karnival kerjaya ini.
“Di samping itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan seperti cabutan bertuah, forum serta ceramah berkaitan kerjaya,” tambah kenyataan itu.
Majlis perasmian program tersebut akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Orang ramai dijemput hadir untuk peluang temu duga daripada majikan yang turut serta pada karnival ini. Sebarang maklumat lanjut, boleh menghubungi urus setia ditalian 016-4850989 atau 011-72568698.






