SERDANG: Seorang lelaki warga Pakistan dipercayai terbabit kes samun dan rogol terhadap seorang wanita tempatan Ahad lalu telah ditahan selepas kelibatnya melarikan diri selepas melakukan jenayah itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Menurut laporan Harian Metro, Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di sebuah kondominium di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini, jam 8.30 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, sebelumnya polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 29 tahun mendakwa dirogol dan disamun seorang lelaki ketika melalui jejantas Keretaapi Tanah Melayu (KTM) Serdang, Ahad lalu.
Katanya, dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, mangsa yang baru seminggu bekerja sebagai promoter sambilan di sebuah pusat beli belah di Putrajaya dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Dagang, Sungai Besi.
“Mangsa mendakwa dihampiri lelaki tidak dikenali di atas jejantas berkenaan sebelum dirogol dan telefon bimbitnya disamun, selain turut diacukan pisau.
“Hasil siasatan dan penelitian rakaman CCTV di lokasi berhampiran, polis menahan seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya pada sidang media di IPD Serdang, di sini, hari ini.
Tambah beliau, siasatan juga mendapati suspek akan membawa pin yang mana dia akan meminta mangsa membuka telefon bimbit menggunakan alat itu untuk membuang kad sim dan mangsa juga turut diarahkan untuk set semula (reset) telefon bimbit berkenaan.
Sementara itu, katanya, polis turut menahan seorang lagi rakan senegaranya berusia 29 tahun yang dipercayai rakan sejenayah dalam satu lagi kejadian samun pada 30 Disember lalu.
Katanya, kejadian itu menyebabkan seorang wanita berusia 20 tahun kerugian dua telefon bimbit dan mengalami kecederaan di jari kanan.
Anbalagan berkata, kedua-dua suspek tidak bekerja yang mana semakan mendapati suspek pertama masuk ke negara ini sejak Ogos tahun lalu sementara suspek kedua sudah enam bulan berada di negara ini.
Beliau berkata, suspek mengaku terbabit dalam kedua-dua kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut 392/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) )c) Akta Imigresen 1959/63.