KOTA KINABALU: Fitnah yang dilemparkan ke atas anak Ketua Menteri, Mohd Reza Hajiji yang dituduh terliabt dengan kartel dadah adalah merupakan perbuatan berniat jahat dan cubaan untuk menjejaskan imej Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
Ketua Penerangan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Anna Bell Perian berkata, perumpamaan ini mengambarkan bahawa individu atau pihak terbabit terdesak dengan menabur fitnah mengalihkan perhatian rakyat untuk menyokong Kerajaan negeri yang tanpa henti membawa Pembangunan untuk rakyat dan negeri Sabah.
“Peperangan dunia luar antara Israel–Palestin sedang berlaku sehingga mengundang ketidaktentuan politik peringkat antarabangsa dan juga kemelesetan ekonomi dunia seharusnya menjadi fokus utama semua pihak tidak kira pihak Kerajaan, pembangkang dan rakyat adalah berganding bahu untuk memulihkan dan membangunkan ekonomi negeri kerana kalau bukan kita semua siapa lagi.
“Cukup-cukuplah berpolitik kerana rakyat sedang memerhatikan kita semua, tentu juga diselitkan doa-doa untuk kemenangan saudara mara kita di Palestin dalam berjuang membela tanah air mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Tambah beliau, Sabah dan rakyatnya menjadi contoh terbaik di peringkat negeri dan nasional dan global yang hidup aman harmoni tanpa perang meskipun berbeza budaya, kaum dan agama.
“Namun sayangnya, ada pihak yang suka mencetuskan ‘peperangan’ yang dangkal, lagi busuk, dipenuhi hasad dengki untuk menjatuhkan orang lain.
“Mengapa tidak kita bersama-sama menjalankan tugas kita sebagai rakyat Sabah, membina dan memakmurkan negeri tercinta, merentasi perbezaan ideologi. Bukan berusaha mencari akal dan helah untuk menusuk duri menikam daging hingga kesuma jiwa lara,” tegasnya.
Katanya lagi, rentetan daripada itu, Wanita Gagasan Rakyat dari Bahagian Sungai Sibuga, Gum-gum, Elopura, Tanjung Papat, Karamunting, Sekong dan beberapa kawasan lain telah membuat laporan Polis agar siasatan terperinci dilaksanakan dan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.






