Bekas Vokalis Jinbara, Tia Meninggal Dunia

Bekas Vokalis Jinbara, Tia Meninggal Dunia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Bekas vokalis kumpulan rock tanah air Jinbara, Tia atau nama sebenar Shamsul Bakhtiar Zakaria, meninggal dunia sekitar jam 9.17 malam Rabu.

Memetik laporan Berita Harian, berita duka pemergian penyanyi disahkan sendiri oleh isterinya, Suzan Ahmad.

“Ya betul, suami meninggal dunia sebentar tadi kerana penyakit kanser hati…

“Bagaimanapun saya tak boleh bercerita lanjut kerana sedang menguruskan jenazah suami,” katanya.

Tia atau Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, disahkan menghidap kanser hati selepas mengadu sakit perut pada Rabu lalu.

Semalam, isterinya yang juga bekas wartawan BH melancarkan tabung bagi mengutip derma untuk menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Medanta, New Delhi, India, namun hasrat tidak kesampaian.

Tia mendirikan rumah tangga dengan Suzan pada 14 tahun lalu, namun tidak dikurniakan cahaya mata.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Fahmi Fadzil…

“Menerima berita sedih. Salam takziah buat keluarga Allahyarham Tia, bekas vokalis kumpulan Jinbara, yang telah meninggal dunia sebentar tadi.

“Semoga keluarga Allahyarham tabah dengan ujian ini,” katanya ringkas di laman Facebook malam tadi.

Turut menerima perkhabaran itu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang juga mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan mendoakan roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya, sementara pengurusan jenazah akan dibuat di Masjid Kota Raja dan dikebumikan di Kampung Jawa pada pagi hari ini (Khamis).