G57 DESAK KERAJAAN SEGERAKAN TUNTUTAN 35% KERUSI PARLIMEN SABAH DAN SARAWAK DEMI...

G57 DESAK KERAJAAN SEGERAKAN TUNTUTAN 35% KERUSI PARLIMEN SABAH DAN SARAWAK DEMI KEADILAN PEMBANGUNAN DAN SEMANGAT MA63

0
SHARE

KOTA KINABALU – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak sebagai satu langkah konkrit untuk memulihkan keseimbangan kuasa politik serta merapatkan jurang pembangunan sosioekonomi luar bandar yang telah sekian lama terabai.

Ketika ini, Sabah hanya mempunyai 25 kerusi Parlimen manakala Sarawak 31 kerusi, menjadikan jumlah keseluruhan 56 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, atau sekitar 25% daripada keseluruhan kerusi Parlimen. Agihan semasa ini mendedahkan wilayah Borneo kepada risiko dominasi satu wilayah, sekali gus menghakis semangat perlindungan yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

1. Mengembalikan Formula Asal 35% Kuota Borneo

Tuntutan mendapatkan semula pegangan 35% kerusi Parlimen (bersamaan 78 daripada 222 kerusi berdasarkan jumlah semasa) bukan satu keistimewaan baharu, sebaliknya merupakan hak sejarah yang wajar dipulihkan. Semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963, gabungan Sabah, Sarawak dan Singapura memegang satu pertiga perwakilan bagi memastikan Semenanjung tidak boleh meminda Perlembagaan Persekutuan secara bersendirian.

Selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965, kerusi tersebut sewajarnya diagihkan secara adil kepada Sabah dan Sarawak, bukannya diserap sepenuhnya ke Semenanjung. Pemulihan pegangan 35% ini penting bagi memperkukuhkan perlindungan hak Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat MA63.

2. Ketimpangan Pembangunan Cetus Sentimen Rakyat

Kelemahan perwakilan politik ini memberi kesan langsung terhadap pengagihan dana serta pembangunan infrastruktur luar bandar.

G57 menegaskan bahawa walaupun Sabah dan Sarawak kaya dengan sumber asli seperti minyak dan gas, sebahagian besar kawasan di kedua-dua wilayah ini masih bergelut dengan masalaht bekalan air bersih, elektrik, jalan raya, kemudahan kesihatan dan infrastruktur asas yang tidak memuaskan.

Keadaan ini telah mewujudkan jurang pembangunan yang ketara serta mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. Sentimen “Blok Borneo” yang semakin mendapat perhatian hari ini jelas mencerminkan aspirasi rakyat yang mahukan layanan lebih adil serta pengagihan pembangunan yang lebih seimbang.

Penambahan kerusi Parlimen berdasarkan keluasan kawasan dan faktor geografi, bukan sekadar kepadatan penduduk, akan memastikan suara masyarakat luar bandar dan pedalaman mendapat perhatian yang sewajarnya.

3. Keluasan Wilayah Perlu Diambil Kira

Sabah dan Sarawak meliputi kira-kira 60% keluasan daratan Malaysia, namun hanya mempunyai 56 daripada 222 kerusi Parlimen. Oleh itu, kajian penambahan kerusi tidak seharusnya hanya berpandukan jumlah penduduk semata-mata, tetapi turut mengambil kira keluasan kawasan, cabaran geografi serta keperluan pembangunan luar bandar selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

4. Desakan dan Resolusi kepada Kerajaan Persekutuan

Memandangkan Kerajaan Persekutuan telah menyatakan persetujuan secara prinsip untuk mempertimbangkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), G57 menggesa supaya komitmen tersebut diterjemahkan kepada tindakan segera melalui penyelesaian isu perundangan, kajian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pembentangan pindaan Perlembagaan di Parlimen, dan bukannya terus menjadi janji politik yang tertangguh.

Sehubungan itu, G57 mengemukakan TIGA (3) tuntutan utama:

* Percepat Urusan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan SPR
Menggesa AGC dan SPR mempercepatkan kajian perundangan serta proses persempadanan semula bagi penambahan kerusi Parlimen.
* Rundingan Bersemuka Segera
Meminta Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63 mengadakan rundingan bersemuka yang lebih agresif bersama kerajaan negeri Sabah, Sarawak dan peguam negeri bagi memuktamadkan formula agihan kerusi.
* Sokongan Rentas Parti
Menyeru semua Ahli Parlimen, termasuk dari Semenanjung, supaya mengetepikan perbezaan politik dan menyokong pindaan Perlembagaan demi mewujudkan sebuah Persekutuan yang lebih adil dan seimbang.

Sabah dan Sarawak adalah rakan pengasas Malaysia, bukannya wilayah yang menempel. Pemulihan hak perwakilan di Parlimen merupakan langkah penting untuk memperkukuhkan semangat MA63, menamatkan ketidakseimbangan pembangunan luar bandar serta menjamin kestabilan politik negara untuk jangka panjang.