Bantu Penduduk Faham Empangan Air Satu Keperluan Bagi Sabah – Johnny

Bantu Penduduk Faham Empangan Air Satu Keperluan Bagi Sabah – Johnny

0
SHARE
Johnny
Ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) Limbahau Datuk Johnny Mositun ( Sumber Foto: Gambar Google )

PAPAR, SABAH – Ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) Limbahau Datuk Johnny Mositun melahirkan kebimbangan berhubung isu bekalan air di daerah ini.

Masalah itu, katanya, bukan sahaja terhad di daerah ini malah berlaku di seluruh negeri.

Beliau berkata perlu ada penyelesaian jangka panjang kepada masalah bekalan air itu.

“Oleh itu, kita perlu menyokong cadangan pembinaan empangan Papar kerana tanpa bekalan air bersih yang berterusan, pembangunan daerah dan negeri akan terbantut.

“Pihak berkuasa berkaitan seperti IDS dan Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) sedang turun padang menjalankan kajian penilaian impak sosial (SIA) dan penilaian impak alam sekitar (EIA).

“Pegawai mereka telah berjumpa saya untuk mendapatkan pandangan saya mengenai perkara itu,” jelasnya.

Johnny berkata, masalah bekalan air di negeri ini agak kritikal terutama dengan banyak tempat pengambilan air di sungai diisytiharkan tercemar dan tidak lagi boleh digunakan sebagai sumber air.

Menurutnya terdapat banyak pembangunan yang dirancang untuk Papar dan kawasan sekitarnya termasuk lapangan terbang di Kimanis serta projek mega yang dicadangkan untuk Kinarut.

“Namun, tanpa bekalan air yang stabil, bagaimana kita boleh melaksanakan semua rancangan ini?

“Bagaimana kita hendak menarik pelabur jika kita tidak dapat memastikan mereka tidak akan berlaku gangguan bekalan air?” katanya.

Justeru, empangan Papar perlu dibina, katanya sambul menegaskan projek itu tidak boleh memudaratkan alam sekitar dan impak sosial penduduk di lokasi itu.

Pemimpin masyarakat juga mesti turun padang untuk menerangkan dengan jelas kepada rakyat mengapa empangan itu diperlukan.

“Mereka mesti difahamkan bahawa dengan adanya empangan itu, masalah bekalan air bersih dapat diselesaikan,” tegasnya.

Sebelum ini, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pembangunan pesat dan peningkatan permintaan pengguna antara punca masalah bekalan air di negeri ini terutama di sepanjang pantai barat.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya ketika itu menambah, faktor lain yang menjejaskan bekalan air bersih termasuk pencemaran sungai, penyelenggaraan paip pecah yang lemah dan masalah teknikal.