PBS Akan Terus Tuntut Hak Sabah Dalam MA63 Yang Belum Dikembalikan, Ditunaikan,...

PBS Akan Terus Tuntut Hak Sabah Dalam MA63 Yang Belum Dikembalikan, Ditunaikan, Dilaksanakan

0
SHARE
Joachim
Joachim bersalaman dengan ahli PBS Bahagian Bengkoka ketika memasuki Dewan Komuniti Bongkol, Pitas ( Sumber Foto: Ihsan PBS )

PITAS, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) akan terus menuntut hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum dikembalikan, ditunaikan dan dilaksanakan, kata Timbalan Presiden parti, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Ini kerana MA63/20 Perkara merupakan platform perjuangan utama PBS sejak 1985 sehingga kini, katanya, sambil menambah PBS juga merupakan parti politik yang pertama memperjuangkan perkara ini.

Perjuangan MA63 termaktub dalam Perlembagaan PBS di Artikel 5: Tujuan dan Objektif IV: Untuk Melindungi Hak-Hak dan Kepentingan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

“PBS adalah parti pertama yang menyatakan kepada kerajaan Persekutuan bahawa kita menuntut perjanjian dalam MA63. Walaupun kita tidak melaung-laungkannya, tetapi kita akan terus menuntut perkara ini daripada kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan kini mula mengambil tindakan penyelesaian terhadap perkara-perkara berkaitan MA63 menerusi majlis tindakan dan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu di mana saya adalah salah seorang ahlinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS Bahagian N2 Bengkoka kali yang ke-38 yang diadakan di Dewan Komuniti Bongkol di sini, Sabtu lepas.

Joachim kini adalah ahli tetap Jawatankuasa Kerja Mesyuarat MA63.

Terdahulu, Joachim membawa seramai 240 ahli PBS Bahagian Bengkoka yang hadir mengimbau kembali sejarah perjuangan PBS sejak ia ditubuhkan.

“PBS ditubuhkan bagi tujuan untuk melindungi dan mengetengahkan hak-hak kita sebagai rakyat Sabah dan ini yang kita teruskan sehingga kini,” katanya.

Beliau juga meminta semua ahli agar terus memberikan sepenuh fokus kepada misi dan visi perjuangan parti. Ini termasuk usaha untuk menarik lebih ramai golongan belia dan juga profesional untuk menyertai dan memperkuatkan lagi parti.

“Dalam usaha kita untuk memperkuatkan lagi parti ini, kita harus elakkan sebarang persengketaan yang boleh membawa kepada perpecahan yang akhirnya hanya akan merugikan kita semua dan juga parti,” katanya.

Hadir sama, Naib Presiden yang juga Ketua Exco Pergerakan Pemuda PBS, Christoper Mandut dan Ketua Bahagian PBS Bengkoka, Dr Samuil Mopun.