KENAIKAN kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada 8 peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Mac ini dan kadar penginapan hotel yang turut dijangka meningkat antara 10 hingga 30 peratus berisiko memberi impak negatif terhadap industri pelancongan negara.
Jangkaan kenaikan harga itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Christina Toh, meskipun yakin ia tidak menjejaskan tempahan hotel di negara Malaysia, lapor Sinar Harian.
Sudah tentu, perkembangan mengenai kenaikan harga penginapan hotel bukan perkara yang menyenangkan untuk didengar, tambahan ketika ini, industri pelancongan negara cukup terkesan dengan negara jiran terutama Thailand apabila rakyat Malaysia lebih memilih bercuti di sana.
Harga penginapan yang jauh lebih murah menjadi alasan mengapa orang ramai lebih memilih bercuti di Thailand berbanding dalam negara selain beberapa faktor lain yang disifatkan lebih jimat.
Perkembangan ini dikhuatiri menggagalkan usaha memujuk rakyat Malaysia untuk menikmati pelancongan yang lebih berbaloi di negara sendiri.
Pengusaha-pengusaha hotel juga dilihat tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga selari dengan kenaikan kos yang terpaksa mereka tanggung.
Oleh itu, kerajaan perlu melakukan sesuatu yang benar-benar memberi impak dan membantu industri pelancongan tempatan yang menjadi periuk nasi rakyat sendiri.