Trump Ugut Serangan 20 Kali Ganda Jika Iran Ganggu Aliran Minyak Selat...

Trump Ugut Serangan 20 Kali Ganda Jika Iran Ganggu Aliran Minyak Selat Hormuz

0
SHARE

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran bahawa Washington akan melancarkan serangan “20 kali ganda” terhadap Iran sekiranya Tehran cuba menghalang aliran minyak melalui Strait of Hormuz.

Dalam kenyataan di media sosial, Trump berkata sebarang tindakan Iran yang mengganggu laluan strategik itu akan menerima tindak balas ketenteraan jauh lebih besar daripada serangan sebelum ini.

Jika Iran melakukan apa-apa yang menghentikan aliran minyak di Selat Hormuz, mereka akan diserang AS 20 kali ganda daripada apa yang mereka terima setakat ini,” katanya.

Trump turut memberi amaran bahawa Amerika Syarikat mampu memusnahkan sasaran yang dianggap “mudah dimusnahkan”, sehingga menjadikan Iran hampir mustahil untuk dibina semula sebagai sebuah negara.

Beliau menamatkan kenyataan itu dengan berkata “kematian, api dan kemurkaan” akan menimpa Iran jika tindakan sedemikian berlaku, sambil menyatakan harapan agar konflik tersebut tidak tercetus.

Ancaman itu muncul ketika ketegangan antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran terus memuncak di rantau Teluk, termasuk gangguan terhadap pergerakan kapal tangki minyak di Selat Hormuz yang telah menolak harga minyak global ke paras lebih tinggi.

Menurut laporan CBS News, Trump turut mempertimbangkan langkah untuk menguasai laluan air tersebut bagi memastikan aliran tenaga global tidak terganggu.

Penganalisis memberi amaran bahawa sebarang percubaan menutup atau mengganggu Selat Hormuz boleh mencetuskan krisis tenaga global memandangkan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia melalui laluan itu.

Setakat Isnin, tiada petunjuk bahawa Iran merancang menutup sepenuhnya laluan tersebut, namun Islamic Revolutionary Guard Corps sebelum ini menegaskan pihaknya mempunyai kuasa penuh ke atas perairan berkenaan dan mampu menghalang eksport minyak jika negara itu diserang.