Belia Perlu Berani Maju, Berdikari – Adam Adli

Belia Perlu Berani Maju, Berdikari – Adam Adli

0
SHARE
Adam
Adli (tiga kiri) menyampaikan sijil pengiktirafan kepada pertubuhan belia yang aktif dan menonjol ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Golongan belia perlu berani mengambil risiko untuk terus maju dan berdikari, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Menurutnya, ramai dalam kalangan belia yang tidak berani mengambil risiko kerana beranggapan itu merupakan satu kesalahan.

“Apa yang saya nak sampaikan sebenarnya adalah, ramai kalangan belia yang tak nak ambil risiko sebab takut salah dia cakap, jadi di sini mungkin kita selama dalam sistem didikan kita, yang salah itu akan dihukum.

“Kita tidak boleh biar anak muda atau belia kita itu terperangkap dengan pemikiran yang macam tu, kesalahan dan kesilapan itu adalah pengajaran buat mereka, macam mana kita nak tengok anak muda yang mampu maju kalau mereka tak ambil risiko, anak muda yang tak nak ambil risiko akan kekal jadi mereka yang hanya tunggu sahaja apa pun yang datang kepada mereka.

“Pemikiran sebegini harus berubah, kita nak anak muda yang dalam masa dia kritikal terhadap pemimpin, kerajaan dan sebagainya, ada masanya dia sudah mampu berdiri atas kaki sendiri dan boleh jadi jauh lebih baik daripada generasi-generasi yang terdahulu dengan belajar dari risiko-risiko yang telah dilalui.

“Kita nak bina keyakinan mereka, dan keyakinan harus dibina dengan mengatakan yang pertama jangan takut buat salah, jangan takut tersilap, jangan takut salah langkah.

“Kalau mereka ada hujah-hujah dan kita rasakan hujah mereka itu ada kesilapan, kita bagitau bukan dengan tujuan kita menghukum tapi membetulkan, zaman ini semua orang menuntut keterbukaan dan menuntut supaya semua dapat diberi ruang untuk bersuara, maka kita harusnya macam tu,” katanya ketika ditemui media dalam Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 di Dewan Sri Putatan pada Rabu.

Jelas beliau, Program Kembara JOM mengajak anak muda dan golongan belia memperkasa bakat seterusnya menggerakkan pertubuhan-pertubuhan belia yang ada.

“Ini merupakan satu program strategi menggalakkan lebih banyak golongan muda kenal dengan pertubuhan-pertubuhan belia, sebab itu kita jemput pertubuhan belia dan golongan-golongan muda daripada Institusi pendidikan dari kampung-kampung dan sebagainya supaya mereka dapat pendedahan.

“Selain itu, ia merupakan strategi pemerkasaan pada belia-belia kita menjelang transisi umur, selalunya cabaranya adalah pada usia 30 tahun yang mereka rasakan kurang pendedahan daripada sektor belia yang lebih muda, jadi ini antara program yang kita rancang supaya mereka dapat mendekati lebih ramai lagi belia dan mencungkil bakat-bakat kepimpinan dalam kalangan mereka melalui sesi interaksi,” ujarnya.

Dalam program tersebut, dianggarkan 750 belia hadir menyertai sesi dialog dan akan diteruskan lagi ke daerah-daerah lain antaranya Keningau, Kota Marudu dan juga Labuan. — JABATAN PENERANGAN SABAH