Konstabel Polis Ditemui Mati Dengan Kesan Tembakan Di Kepala

Konstabel Polis Ditemui Mati Dengan Kesan Tembakan Di Kepala

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan..

SIBU, SARAWAK – Seorang anggota polis berpangkat konstabel ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di rumah sewa rakannya di Lorong 9, Permai hari ini (6 Mei).

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata anggota yang dikenali sebagai Norhalim Tumiran, 25, bertugas di Unit Ronda Bermotorsikal (URB) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

“Kami dimaklumkan seorang anggota polis ditemui mati dengan kesan tembakan di bahagian atas telinga kanan (kepala) dan masih terduduk di atas sofa dalam rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Laporan mengenai kejadian diterima sekitar pukul 7:00 malam.

Memetik laporan Utusan Borneo, beliau memaklumkan tempat kejadian merupakan rumah sewa lima rakannya, manakala dia tinggal di rumah transit di IPD Sibu.

Dia yang berasal dari Pahang baharu sahaja bekerja lebih kurang satu bulan setengah di sini.

“Sebelum kejadian, mangsa datang ke rumah sewa untuk bermain permainan komputer iaitu sebelum waktu berbuka puasa,” jelas Stanley lagi.

Difahamkan, Konstabel berkenaan mempunyai isteri dan seorang anak berusia setahun.

Tambah beliau kes masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.