Kontinjen INTAN Sabah Juarai Pertandingan Sepanduk

Kontinjen INTAN Sabah Juarai Pertandingan Sepanduk

0
SHARE
Maulud
Hajiji (tiga dari kanan) menyampaikan replika wang tunai kepada Johan Pertandingan Sepanduk Kategori Komuniti (tiga dari kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kontinjen INTAN Kampus Sabah muncul Juara Pertandingan Sepanduk sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah tahun 2024.

INTAN Kampus Sabah mendominasi kategori Kementerian/Jabatan/swasta apabila muncul juara mengenepikan saingan rapat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah yang di tempat kedua manakala Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di tempat ketiga.

Pertandingan sepanduk pada kali ini melibatkan empat kategori iaitu kategori kementerian/jabatan/swasta, komuniti, sekolah menengah dan rendah serta pertubuhan.

Bagi kategori komuniti, Masjid Jamek Pekan Mesapol, Sipitang menjadi johan menewaskan Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu dan Masjid Imam Haji Awang Hashim, Pekan Sipitang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, kategori sekolah rendah dan menengah, johan disandang oleh SMK Pengiring Omar Sipitang II, Sipitang, naib johan Pondok Fi Dzilal Quran, Kota Belud dan SMAN Toh Puan Hajjah Rahman, Papar di tempat ketiga.

Manakala, Kategori Pertubuhan Johan dimenangi oleh Pertubuhan Islam seluruh Sabah yang berjaya menewaskan dua lagi pesaingnya iaitu Badan Dakwah Daerah Kuala Penyu dan Badan Dakwah Daerah Beaufort masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Pertandingan Kontinjen Terbaik pula diraih pasukan Jabatan Penjara (kategori kementerian/ jabatan/ swasta), Persatuan SM Sabah@ Sahabat Muslimah Sabah, Kota Kinabalu (kategori pertubuhan), Masjid Jamek Kampung Likas (kategori komuniti) dan Sekolah Agama dan Tadika Islam Hadiph Hijrah, Kota Kinabalu (kategori sekolah menengah).

Turut diumumkan, Pertandingan Kontinjen Teramai keseluruhan yang dirangkul oleh Pertubuhan Bayu Raudhah dengan keanggotaan seramai 1100 orang.

Seramai 98 kontinjen menyertai pertandingan perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024M bertempat di Sabah International Convention Centre ( SICC), pada Isnin.

Dengan Tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” perarakan tersebut menghimpunkan hampir lapan ribu umat Islam seluruh Sabah turut disertai Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni diirngi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta isteri, Datin Seri Julia Salag dan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya.

Perarakan turut mempertandingkan tiga jenis pertandingan iaitu pertandingan sepanduk, kontinjen terbaik serta kontinjen teramai.

Sesi penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor diiringi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Datuk Mohd Arif dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Kadzim Haji Mohd Yahya serta Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah. — JABATAN PENERANGAN SABAH