
KOTA KINABALU, SABAH – Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga (JPH) di Sabah, Sarawak dan Labuan yang diadakan di sini hari ini bersetuju agar inisiatif pembangunan jagung bijian secara bersepadu dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.
Memetik sumber Bernama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ini bagi mengurangkan kebergantungan import sumber makanan industri ternakan yang selama ini menyumbang kepada faktor kos pengeluaran dan harga bekalan tinggi di pasaran.
Beliau berkata mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, turut memutuskan supaya Kerajaan Sabah dan Sarawak dilibatkan secara kolaboratif dan holistik dalam inisiatif tersebut.
“Penglibatan (Kerajaan Sabah dan Sarawak) adalah melalui Jawatankuasa Industri Jagung Bijian Negara (NGCIC) yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Datuk Seri Mohamad Sabu),” menurutnya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata mesyuarat juga mengambil maklum inisiatif dan syor yang dikemukakan oleh kerajaan kedua-dua negeri itu.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya ia dijadikan rujukan dalam Kajian Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan Labuan serta dipertimbangkan oleh kementerian serta agensi Persekutuan berkaitan.
Armizan berkata mesyuarat turut mengambil maklum tentang dapatan awal Kajian Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan Labuan yang telah dimulakan pada Mei lepas.
Ia dijangka selesai pada November ini, sebelum dibentangkan kepada mesyuarat jawatankuasa itu pada Disember.
“Hasil dan dapatan daripada kajian ini akan dijadikan sebagai asas pertimbangan bagi penambahbaikan inisiatif sedia ada dan cadangan inisiatif baharu pada masa akan datang berkaitan penstabilan harga di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.