KUALA LUMPUR – Rumah Produksi Merah milik vokalis Wings, Datuk Awie kini menganjurkan acara muzik yang bakal menghimpunkan band rock tanah air, Rock Warrior Music Festival.
Memetik sumber Berita Harian, festival yang bakal berlangsung pada 23 dan 24 November depan di KL Base, Sungai Besi itu akan menampilkan barisan artis rock terkemuka seperti Wings, Search (Kid dan Din) dan XPDC yang akan mempersembahkan lagu-lagu popular sejak era kegemilangan rock sehingga kini.
Awie berkata, penganjuran Rock Warrior Music Festival adalah salah satu usaha Rumah Produksi Merah untuk menghidupkan kembali suasana era kegemilangan muzik rock dan menyatukan peminat generasi lama dan baharu.
Selain itu, katanya, Rock Warrior Music Festival juga dikatakan sebagai platform terbaik buat band rock baharu untuk menonjolkan bakat, sekali gus memperkenalkan lagu dan karya mereka.
“Saya percaya festival ini akan menjadi titik mencorakkan semangat kesatuan dalam kalangan peminat muzik, sama ada mereka adalah golongan sudah lama menggemari genre rock atau generasi baharu yang baru bersuara dalam dunia muzik.
“Selain itu, Rock Warrior Music Festival sebagai medan yang amat sesuai untuk mengetengahkan bakat baharu dalam industri muzik rock. Platform unik ini memberi peluang kepada kumpulan rock baharu untuk beraksi, memperkenalkan karya original kepada penonton.
“Dengan adanya penekanan diberikan oleh festival terhadap kepelbagaian bakat dalam kalangan penyampai lagu rock, ia memperlihatkan komitmen penganjur dalam mempromosikan kepelbagaian dan inovasi dalam industri muzik tempatan,” katanya.
Search bakal mempersembahkan lagu popular sejak era kegemilangan rock dalam festival.
Search bakal mempersembahkan lagu popular sejak era kegemilangan rock dalam festival.
Awie berkata, Rock Warrior Music Festival bukan sahaja menjadi acara hiburan tidak boleh dilepaskan peminat muzik, malah menjadi tonggak penting dalam mendokong perkembangan industri muzik rock negara ini.
“Diharapkan festival ini akan terus menjadi mercu tanda membawa kegemilangan kepada muzik rock, menjana inspirasi dan semangat yang berterusan dalam kalangan peminat muzik tanah air,” katanya.
Tambah Awie, festival ini juga satu penghargaan kepada peminat setia muzik rock di Malaysia.
“Festival ini untuk semua pejuang muzik rock yang tidak pernah putus asa menyokong genre ini. Kami mahu menghidupkan semula semangat rock dan membawa pengalaman berbeza kepada peminat,” katanya.
Selain persembahan muzik bertenaga, Rock Warrior Music Festival juga menawarkan pelbagai aktiviti sampingan untuk menambah kemeriahan acara.
Ia termasuk pelbagai reruai makanan dan minuman, aksesori, gerai jualan eksklusif barangan rock dan banyak lagi.