Cedera Kaki dan Rusuk, Pendaki Croatia Selamat Dibawa Bomba Turun dari Gunung...

Cedera Kaki dan Rusuk, Pendaki Croatia Selamat Dibawa Bomba Turun dari Gunung Kinabalu

0
SHARE

RANAU: Seorang pendaki warga Croatia yang cedera selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Kinabalu akhirnya berjaya dibawa turun dengan selamat oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), malam Khamis, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) berlangsung selama lima hari.

Mangsa, Mauro Persic, 46, yang mengalami kecederaan pada kaki kanan dan rusuk kanan serta luka ringan pada tangan selamat tiba di Timpohon Gate pada jam 7.06 malam sebelum diberikan rawatan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred berkata, operasi membawa turun mangsa disambung semula seawal jam 7.07 pagi tadi dengan pasukan SAR terpaksa melalui laluan mencabar dan sukar.

“Pasukan SAR berusaha membawa mangsa menuju ke platform melalui laluan sejauh kira-kira dua hingga tiga kilometer sebelum mangsa dibawa turun menggunakan Robinson Stretcher.

“Pada jam 10.16 pagi, pasukan pertama berjaya membawa mangsa sehingga ke laluan tangga aluminium yang menjadi lokasi staging pasukan kedua dan ketiga sebelum operasi diteruskan secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi turut berdepan keadaan cuaca hujan apabila pasukan SAR bersama mangsa berada kira-kira 1.8 kilometer dari Platform KM 6.5 pada jam 1.06 tengah hari.

Pasukan berkenaan kemudian berjaya tiba di Platform KM 6.5 pada jam 3.21 petang sebelum proses membawa mangsa dari Panalaban menuju ke Timpohon Gate diteruskan menggunakan kaedah piggy back carry dengan bantuan Body Harness Carrier (BHC).

“Pada jam 7.06 malam, pasukan SAR bersama mangsa selamat tiba di Timpohon Gate dan mangsa diberikan rawatan oleh pihak KKM.

“Kesemua anggota pasukan SAR juga tiba di Timpohon Gate dalam keadaan selamat,” katanya.

Rantey berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Ranau menggunakan ambulans KKM pada jam 7.22 malam dengan diiringi kenderaan MPV Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi SAR berkenaan membabitkan keseluruhan 43 anggota yang terdiri daripada 34 anggota Bomba, dua ParkSAR, lima malim gunung, seorang porter dan seorang renjer.

Pasukan SAR dibahagikan kepada lima kumpulan dengan tugasan membawa mangsa, sokongan dan penempatan di beberapa lokasi termasuk laluan Tangga Aluminium, Platform KM 6.5 serta Balai Bomba MOCSAR Gunting Lagadan.

Operasi turut mendapat kerjasama PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Parks, malim gunung dan porter.

Rantey berkata, operasi SAR itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 malam selepas mangsa berjaya dihantar ke hospital dan semua anggota penyelamat selamat kembali.

Terdahulu, JBPM menerima panggilan kecemasan pada jam 5.10 petang, 6 September lalu berhubung kejadian seorang pendaki terjatuh di Gunung Kinabalu.

Mangsa kemudiannya ditemukan dalam keadaan cedera sebelum operasi membawanya keluar dilaksanakan melalui laluan pergunungan yang mencabar sehingga berjaya diselesaikan pada hari kelima operasi.