Rumah Panjang Ke-29 Untuk 24 Keluarga Di Matunggong Siap Pada April 2023

Rumah Panjang Ke-29 Untuk 24 Keluarga Di Matunggong Siap Pada April 2023

0
SHARE
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada majlis pecah tanah Rumah Panjang Blok 2 Toporoi di Matunggong sambil yang lain melihat...

KOTA MARUDU, SABAH – Dua puluh empat (24) keluarga bakal memiliki ruang sendiri apabila rumah panjang ke-29 itu dibina di Kampung Toporoi, di Matunggong, sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata Blok 2 Rumah Panjang Toporoi dibina dengan reka bentuk moden termasuk tiga bilik tidur dan tandas bersambung.

Bercakap semasa majlis pecah tanah projek itu, kelmarin, Ongkili berkata ianya merupakan dana terbesar yang pernah diperuntukkan untuk pembinaan rumah panjang.

“Sebanyak RM3.2 juta diperuntukkan untuk rumah panjang 24 pintu itu yang akan mula dibina tidak lama lagi dan dijangka siap April tahun depan,” katanya…

Tambah Ahli Parlimen Kota Marudu itu, selain rumah panjang, Projek Perumahan RakyatTermiskin (PPRT) juga dibina untuk keluarga berpendapatan rendah.

“Kami mempunyai 450 rumah PPRT di bawah Program Agropolitan di Gana, yang mana 100 buah rumah akan diserahkan kepada penerima dalam tempoh tiga bulan akan datang,” katanya.

Beliau juga menambah, sebagai sebahagian daripada program pembasmian kemiskinan, penduduk tempatan di sini digalakkan mengambil bahagian dalam sektor pertanian bagi meningkatkan pendapatan.

“Selain menanam kelapa dan pertanian walit, pesawah bukit juga perlu mempertimbangkan penanaman jagung di antara musim, khususnya untuk bijirin makanan.

“Kedua-dua kementerian pertanian Persekutuan dan Negeri memberi tumpuan dalam menggesa petani kecil untuk mengambil bahagian dalam pengeluaran bijirin makanan haiwan memandangkan keperluan mendesak untuk produk itu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa petani harus menghadiri seminar dan kursus untuk mendapatkan maklumat terkini tentang kaedah pertanian terkini.