KOTA KINABALU, SABAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah semalam telah menahan seorang Penolong Pegawai Kesihatan kerana disyaki menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan projek bernilai kira-kira RM30,000.
Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 pagi tadi selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
Menurut sumber, suspek mendapatkan projek bagi kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan bagi Pejabat Kesihatan di sebuah daerah di negeri ini melalui syarikat miliknya sendiri.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan itu.
Menurutnya lagi, suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.