PPM Bongkar Penyelewengan Diesel di Sandakan, Rampasan Lebih RM2 Juta

PPM Bongkar Penyelewengan Diesel di Sandakan, Rampasan Lebih RM2 Juta

0
SHARE

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah membongkar kegiatan disyaki penyelewengan minyak diesel bersubsidi selepas mengesan aktiviti pemindahan kira-kira 28,000 liter bahan api itu daripada sebuah kapal kargo ke lori tangki di sebuah jeti di sini.

Dalam operasi kira-kira jam 3.55 petang pada Rabu, dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun turut ditahan, manakala keseluruhan rampasan termasuk kapal kargo, lori tangki, minyak diesel dan peralatan dianggarkan bernilai RM2.08 juta.

PPM Wilayah 4 Sabah menerusi kenyataan di Facebook hari ini berkata, operasi dijalankan PPM Sandakan hasil maklumat orang awam sebelum pasukan melakukan risikan dan mengesan sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sedang berlaku aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah kapal kargo ke lori tangki.

“Dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan sumber bekalan minyak diesel daripada pembekal yang sah semasa pemeriksaan dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Dalam operasi berkenaan, PPM merampas sebuah kapal kargo jenis besi, sebuah lori tangki Nissan Diesel berkapasiti 15,000 liter, kira-kira 28,000 liter minyak diesel serta beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Nilai minyak diesel yang dirampas dianggarkan sebanyak RM130,760, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk kapal, kenderaan dan peralatan lain mencecah RM2,082,760.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, PPM memaklumkan sebanyak 112 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 direkodkan di seluruh Wilayah 4 Sabah bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Kes berkenaan membabitkan 103 tangkapan dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM25,869,045.30.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebatkan risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barangan kawalan serta memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan atau diseleweng untuk kepentingan pihak tertentu,” menurut kenyataan itu.

PPM turut menghargai kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan kerana ia menjadi antara elemen penting dalam membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang.