Dua Premis Menjual Serbuk Penaik Disyaki Tiruan Diserbu Di Tawau

Dua Premis Menjual Serbuk Penaik Disyaki Tiruan Diserbu Di Tawau

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah telah menyerbu dua buah premis perniagaan makanan kering dan menyita 38,188 unit pelbagai kuantiti bagi barangan Serbuk Penaik jenama “Royal Baking Powder”, yang disyaki tiruan di dalam serbuan yang telah dijalankan pada Rabu di daerah Tawau.

Pengarahnya, Georgie Abas berkata, semua barangan terbabit dianggarkan bernilai RM139,218 dan tindakan kes diambil di bawah Akta Cap Dagang 2019.

“Serbuan tersebut dijalankan oleh dua pasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sabah yang terdiri daripada 7 orang anggota bersama-sama dengan 5 orang wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar untuk jenama Royal Baking Powder.

“Kedua-dua pemilik premis perniagaan terbabit adalah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan kes ini akan disiasat mengikut seksyen 102(1),(b)&(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barangbarang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau keduaduanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan,” katanya.

Beliau menambah, Kementerian itu akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran.

“Para peniaga adalah diingatkan agar lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya,” Georgie berkata.