
KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan peranan dan fungsi masjid perlu diperkasakan seiring dengan arus pemodenan.
Katanya, beberapa pendekatan harus diambil dan dijadikan keutamaan dalam usaha menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan insan, terutamanya dalam membangunkan masyarakat Islam pada masa kini.
“Masjid hendaklah dijadikan pusat keilmuan dan kegiatan keIslaman dengan mengadakan pengajian ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.
“Selain itu, masjid juga hendaklah menganjurkan kelas-kelas ilmiah yang lain seperti pelajaran komputer, sains, matematik dan dijadikan sebagai pusat kegiatan hal ehwal wanita, remaja dan kanak-kanak, di samping menjadi pusat ekonomi dalam masyarakat setempat.
“Pendek kata, masjid sebagai rumah ibadah, harus diperluaskan fungsi dan peranannya, agar institusi masjid dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah kemajuan dan pembangunan ummah,” ujarnya ketika berucap semasa Majlis Perasmian Masjid Al-Falah Kepayan, pada Sabtu.
Menurut Hajiji, Masjid Al-Falah Kepayan yang mula dibina pada 2013 merupakan tambahan kepada masjid-masjid sedia ada antaranya Masjid At-Taqwa, RTM, Masjid Nur Islam, Ibu Pejabat Polis Kepayan, Surau Assolihin, Taman Austral Park, dan Surau Istiqomah, Taman Olivia.
“Pembinaan semua masjid itu bagi memenuhi keperluan penduduk setempat yang semakin bertambah ramai kerana kawasan Kepayan dan Penampang adalah kawasan yang paling pesat membangun kerana kedudukannya di dalam dan di pinggir Bandaraya Kota Kinabalu.
“Kredit harus diberikan kepada mantan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman kerana atas perkenan beliaulah terbinanya masjid ini sebagai hadiah kepada komuniti muslim di Kepayan dan kawasan sekitarnya,” tambahnya.
Dalam majlis yang sama, Hajiji turut menyampaikan sumbangan kepada 170 orang terdiri daripada golongan asnaf, warga emas dan ibu tunggal selain menyaksikan penyerahan Sumbangan Pengurusan dan Pengimarahan Masjid daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan sumbangan kewangan daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) kepada Masjid Al-Falah.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jumain Abdul Ghani, Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pengerusi Masjid Al-Falah, Abdul Malek Chua. — JABATAN PENERANGAN SABAH