KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Sabah dan Sarawak merupakan rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan yang terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh kestabilan negara serta memantapkan semangat perpaduan dan kebersamaan antara wilayah.
Beliau berkata, perpaduan dan kepercayaan yang terbina antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak akan terus menjadi kekuatan dalam menjayakan agenda pembangunan serta menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
“Sabah dan Sarawak adalah rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan yang terus bersama-sama memperkukuh kestabilan negara serta memantapkan semangat perpaduan dan kebersamaan antara wilayah.
“Insya-Allah, perpaduan dan kepercayaan yang terbina ini akan terus menjadi kekuatan dalam menjayakan agenda pembangunan serta menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.
Anwar berkata demikian menerusi hantaran di Facebook pada malam Khamis selepas tiba di Kota Kinabalu bagi menghadiri Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; serta barisan pimpinan kanan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Tiba di Kota Kinabalu, Sabah dan terus menghadiri Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
“Turut bersama Ketua Menteri Sabah, Premier Sarawak serta pimpinan kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam suasana penuh muhibah dan kebersamaan,” katanya.
Mesyuarat MTPMA63 merupakan platform penting yang menghimpunkan kepimpinan Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak bagi membincangkan perkara berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).






