ATEX 2025 Bakal Perkukuh Kerjasama Pelancongan Serantau di Sabah

ATEX 2025 Bakal Perkukuh Kerjasama Pelancongan Serantau di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: ASEAN Travel Exchange (ATEX) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 19 Jun di Kota Kinabalu bakal menghimpunkan pemain industri pelancongan serantau dalam usaha memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah diberi taklimat mengenai penganjuran acara berprestij itu oleh satu delegasi pemain utama industri pelancongan serantau di Menara Kinabalu, hari ini.

Presiden Persekutuan Persatuan Pelancongan ASEAN (FATA), Datuk Tan Kok Liang memaklumkan bahawa ATEX 2025 akan menjadi acara pelancongan B2B (perniagaan-ke-perniagaan) antarabangsa pertama yang dianjurkan di Sabah.

Ia dijangka menarik penyertaan 200 pembeli antarabangsa dan 100 penjual dari rantau ASEAN untuk sesi perdagangan, dialog serta kerjasama strategik dalam sektor pelancongan.

Acara ini mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah serta organisasi pelancongan utama.

ATEX 2025 turut dilihat sebagai pemangkin yang mampu melonjakkan nama Sabah ke hadapan dalam pasaran pelancongan serantau dan antarabangsa.

Delegasi tersebut turut disertai Presiden Persatuan Pelancongan ASEAN (Aseanta) Eddy Krismeidi, Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Nigel Wong, Pengarah Dasar Global dan Hubungan Kerajaan AirAsia, Zamani Rafique serta Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.